Sultan Selangor Selamat Nikah Pembaca Berita RTM.



SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj telah selamat diijabkabulkan dengan pembaca berita stesen RTM, Norashikin Abdul Rahman, pada pagi Rabu lalu.

Pasangan ini dinikahkan oleh Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Seri Haji Mohd. Tamyes di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Menurut Dato’ Lela Bakti Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato Haji Mahamad Munir dalam satu kenyataan, majlis pernikahan diraja tersebut diadakan secara sederhana dan ringkas atas titah baginda sendiri.

Beliau berkata pernikahan turut dihadiri oleh Timbalan Mufti Selangor, Dr. Anhar Opir; Al Fadil Imam Paduka Mohd. Rasid Mahful; bekas Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar dan Ahli Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin

Isteri baginda iaitu Norashikin merupakan bekas seorang pramugari sebelum menjadi penyampai berita televisyen. Turut hadir pada majlis ini ialah bapa dan ahli keluarga pengantin perempuan.

Norashikin, 45, yang berasal dari Kuala Lumpur adalah anak bongsu daripada tiga beradik. Beliau pernah meraih anugerah Penyampai Berita TV Terbaik dalam Anugerah Seri Angkasa pada 2005 lalu.




GAMBAR IJABKABUL TUANKU PADA 31 OGOS LALU


NORASHIKIN ABDUL RAHMAN (KANAN).




Sultan Sharafuddin dilahirkan di Istana Jema’ah Klang (kini Kolej Islam Sultan Alam Shah) pada 24 Disember 1945 merupakan Sultan Selangor ke-9 sejak 22 November 2001 berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.

Terdahulu, Sultan Selangor pernah mendirikan rumah tangga dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal namun berpisah pada tahun 1988. Hasil perkahwinan itu, pasangan Diraja ini dikurniakan dua puteri bernama Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah.

Setelah itu, baginda berkahwin dengan Puan Nur Lisa Idris Abdullah warga Amerika Syarikat pada tahun 1988 sebelum masing-masing mengambil keputusan untuk berpisah pada 1997. Baginda mempunyai seorang putera bernama Tengku Amir Shah. – MYNEWSHUB.CC

Post a Comment